LAHAD DATU: Seorang lelaki tanpa dokumen berusia lingkungan 30-an dilaporkan meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik di Kampung Puyut, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, PKPgB Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.47 tengah hari.
Katanya, seramai 12 anggota tiba di lokasi lapan minit kemudian.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM di lokasi kejadian.
“Mangsa dipercayai tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan, menurut penduduk kampung, tidak dikenali penduduk setempat.
“Pasukan bomba membawa mangsa ke kawasan selamat menggunakan pengusung dan tali selepas pihak Sabah Electricity memotong bekalan elektrik di lokasi. Mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Operasi yang diketuai PBK II Ag. Hazizan Hashim itu terkawal pada jam 1.30 petang dan tamat pada jam 1.36 petang.






