Sabah Jambatan Penting Perkukuh Kerjasama Malaysia-China

Sabah Jambatan Penting Perkukuh Kerjasama Malaysia-China

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah berada pada kedudukan strategik untuk menjadi jambatan penting dalam memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan China.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, hubungan Sabah dengan China merupakan bahagian penting dalam kerjasama Malaysia-China yang lebih luas.

Menurutnya, walaupun hubungan diplomatik rasmi secara relatifnya masih baharu, hubungan antara Sabah dan China sebenarnya telah terjalin jauh lebih lama dalam sejarah.

“Sejak berabad-abad lalu, laluan perdagangan maritim telah menghubungkan komuniti pesisir Borneo dengan selatan China serta kawasan lain di Asia Tenggara.

“Hubungan ini membolehkan pertukaran barangan, idea, budaya dan masyarakat, sekali gus mewujudkan ikatan yang kekal bermakna sehingga hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Resepsi Sempena Ulang Tahun Ke-77 Penubuhan Republik Rakyat China di Magellan Sutera Resort, di sini, semalam.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Hajiji berkata, Sabah menawarkan platform kukuh bagi penglibatan antara perusahaan, institusi dan masyarakat China berikutan kedudukan geografinya yang strategik, potensi ekonomi, kekayaan sumber semula jadi serta hubungan rakyat dengan rakyat yang telah lama terjalin.

“Perdagangan dan pelaburan kekal menjadi tonggak utama hubungan Sabah-China.

“China merupakan antara rakan dagang terpenting Sabah dengan kerjasama merangkumi komoditi, pertanian, perikanan, produk pembuatan, pelancongan dan perkhidmatan.

“Syarikat-syarikat China yang beroperasi di Sabah telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi, pewujudan peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur serta hubungan perniagaan yang lebih kukuh,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Sabah menawarkan peluang pelaburan yang besar kepada pelabur China dalam sektor pelancongan, tenaga boleh baharu, pertanian, perikanan, logistik, perkhidmatan digital dan ekonomi biru.

Menurutnya, terdapat juga peluang luas untuk Sabah dan China berkongsi kepakaran dalam bidang pertanian, pemuliharaan marin, tenaga bersih, pertanian pintar dan akuakultur.

“Dengan menyelaraskan kekuatan ekonomi Sabah dengan kepakaran, keupayaan pelaburan dan kemampuan teknologi China, kita boleh mewujudkan hasil yang bermakna serta memberi manfaat bersama,” katanya.

Hajiji berkata, pelancongan merupakan satu lagi bidang kerjasama penting yang boleh terus dipertingkatkan melalui kesalinghubungan udara lebih kukuh dan perluasan pemasaran digital.

Usaha itu turut merangkumi pembangunan produk ekopelancongan, pelancongan budaya dan pelancongan pengembaraan.

Selain kerjasama ekonomi, katanya, terdapat potensi besar untuk memperluas kerjasama dalam pendidikan, kebudayaan dan pertukaran rakyat dengan rakyat.

Ia boleh dilaksanakan melalui perkongsian antara universiti, pertukaran pelajar, program bahasa, kerjasama penyelidikan, biasiswa, persembahan kebudayaan, aktiviti belia serta kerjasama dalam bidang sains dan teknologi.

“Pertukaran ini amat penting kerana ia memperdalam persefahaman bersama dan memupuk persahabatan dalam kalangan generasi akan datang.

“Ia mengingatkan kita bahawa kekuatan sebenar hubungan dua hala bukan sahaja terletak pada perdagangan dan pelaburan, tetapi juga pada hubungan antara rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Hajiji berkata, Sabah kekal komited untuk menyokong hubungan kukuh dan konstruktif antara Malaysia dengan China, sambil meneruskan keutamaan negeri di bawah agenda pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0.

“Sabah bersedia dan berhasrat untuk menjadi platform penting bagi kerjasama Malaysia-China,” katanya.