SUNGAI PETANI – LEBIH 300 orang sanggup beratur panjang seawal 6.30 pagi bagi mendapatkan ayam segar yang dijual RM1 seekor di cawangan Ayam Bismi di Taman Pekan Baru, Sungai Petani hari ini.
Menurut laporan Harian Metro, dipetik sebagai berkata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bismi, Mazlina Kamarudin bahawa, 100 ayam segar dijual dengan harga RM1 bersempena pemindahan cawangan mereka dari Sungai Lalang, Sungai Petani ke lokasi baru itu.
“Kita tidak sangka sambutan amat menggalakkan apabila ramai yang sudah mula menunggu seawal 6.30 pagi.

“Dianggarkan lebih 300 orang mula beratur sebelum jualan bermula iaitu pada 7.30 pagi,” katanya ketika ditemui.
Beliau berkata, ayam yang dijual RM1 adalah ayam bersaiz besar dengan berat kira-kira 2.9 hingga tiga kilogram ke atas yang biasanya bernilai RM20 ke atas di pasaran.
Kesemua 100 ayam berharga RM1 itu habis dijual pada 8.30 pagi.
Katanya, jualan murah itu satu daripada program ‘Huluran Sayang’ yang dijalankan oleh pihaknya bagi membantu orang awam dalam mendapatkan ayam segar dengan harga murah di samping berkongsi keuntungan dengan pelanggan.
“Dengan adanya jualan seperti ini, kita nak tunjuk bahawa seringgit itu pun adalah bernilai selain kita nak galakkan kedatangan orang ke cawangan kita.
“Kita nampak program ini sangat merangsangkan orang ramai dan kita akan cuba lakukan di tempat lain di masa hadapan,” katanya.
Selain ayam segar yang dijual RM1, orang ramai juga tidak melepaskan peluang mendapatkan ayam segar ditawarkan pada harga RM5.99 sekilogram di cawangan itu.