Pemandu Maut, Lori Simen Terbalik di Keningau

Pemandu Maut, Lori Simen Terbalik di Keningau

0
SHARE

KENINGAU: Seorang lelaki berusia 40 tahun maut selepas lori simen yang dipandunya dipercayai terbabas sebelum terbalik di bahu Jalan Kampung Bariawa Ulu, pagi tadi.

Mangsa, seorang warga tempatan, ditemukan terperangkap di dalam kenderaan berat berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Penguasa Bomba Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.02 pagi.

Menurutnya, seramai 10 anggota bersama jentera bomba dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi dan tiba kira-kira lapan minit kemudian.

Pasukan bomba menjalankan operasi mengesan dan mengeluarkan mangsa sebelum sebuah kren tiba pada jam 10.34 pagi untuk mengangkat lori terbabit.

Mangsa ditemukan di dalam lori pada jam 10.38 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Operasi yang turut dibantu polis dan KKM ditamatkan pada jam 10.58 pagi selepas lokasi dipastikan selamat.