KARACHI, PAKISTAN – Pelarian Afghanistan yang tinggal di beberapa kem di wilayah selatan Pakistan, berkata mereka memerlukan wang bukannya vaksin COVID-19.
Mereka memberi alasan bahawa kem pelarian yang mereka berlindung ketika ini tiada kes jangkitan virus berkenaan.
Wakil pelarian itu berkata, mereka tidak mempunyai maklumat mengenai program vaksinasi COVID-19 yang dilakukan kerajaan Pakistan.
Sebahagian mereka mendakwa tiada kes jangkitan atau kematian akibat COVID-19 di kem itu, sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai kurangnya kesedaran mengenai pandemik COVID-19 dalam kalangan mereka yang tinggal di kem pelarian berkenaan.
Memetik laporan BH Online, sekurang-kurangnya 1.4 juta pelarian Afghanistan tinggal di 54 kem di seluruh Pakistan, kebanyakannya di wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa dan barat daya Balochistan yang terletak bersempadan dengan Afghanistan.
Terdapat juga penempatan kem pelarian di pusat bandar besar seperti Karachi dan Islamabad.
Aktivis belia di kem pelarian New Saranan di wilayah barat daya Balochistan, Zahir Pashtun memberitahu agensi berita Arab News, tiada sesiapa yang menghubungi mereka mengenai program vaksinasi COVID-19.
“Saya tidak fikir yang satu peratus pun (daripada pelarian) akan mendapat suntikan. Sesetengah mereka malah percaya akan meninggal dunia jika mendapat suntikan vaksin,” katanya.
Zahir berkata, pandemik COVID-19 belum mengakibatkan kematian di kem itu namun menjejaskan ekonomi mereka terutama yang mendapat gaji harian, sejak virus itu melanda Mac tahun lalu.
Di kem berkenaan, seorang pekerja berkata, kerajaan sepatutnya memberikan wang kepada pelarian, berbanding vaksin.
Bulan lalu, Pusat Operasi dan Kawalan Kebangsaan Pakistan memaklumkan, program vaksinasi bagi warga asing di negara itu sudah diluluskan dan Kementerian Kesihatan Pakistan memaklumkan proses itu akan bermula pada minggu pertama April.