PENAMPANG: Aduan mengenai peningkatan aktiviti tikus di kawasan perumahan dan komersial daereah ini semakin meningkat, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan awam dan kebersihan persekitaran.
Ahli Majlis Perbandaran Penampang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Utiliti Awam, Richard Chong, berkata pihaknya menerima banyak aduan daripada penduduk dan peniaga berhubung keadaan yang semakin meruncing.
Menurutnya, masalah itu berpunca daripada pengurusan sisa yang lemah, pembuangan sampah haram dan tahap kebersihan yang tidak memuaskan, sekali gus mempercepatkan pembiakan tikus.
Beliau berkata pegawai kesihatan, Bainis Lutot, kini melaksanakan langkah kawalan termasuk penggunaan racun tikus di kawasan sarang bagi menangani punca masalah.
Bagaimanapun, katanya, langkah penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi dan kerjasama masyarakat amat penting.
Penduduk dan peniaga digesa menjaga kebersihan premis, mengurus sisa dengan betul, mengelak pembuangan haram, membersihkan longkang serta menutup laluan kemasukan tikus, selain melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.
“Masalah ini tanggungjawab bersama dan hanya dapat dikawal melalui kerjasama semua pihak,” katanya.






