KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun bagi membantu siasatan kes samun dan mencederakan di sebuah kedai dobi di Alamesra pada Rabu lalu yang tular di media sosial.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, suspek ditahan pada hari sama kejadian di kawasan Inanam.
“Hasil siasatan awal membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut. Kes masih dalam siasatan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa polis mengesan wujud spekulasi tidak sahih di media sosial yang mengaitkan suspek dengan pelbagai dakwaan.
Video tular turut memaparkan keadaan mangsa wanita dipercayai pelajar yang cedera dan terduduk dalam keadaan lemah selepas insiden tersebut.
Syed Lot menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.
Polis turut mengingatkan bahawa tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana individu yang menyebarkan berita palsu serta mengganggu ketenteraman awam.






