Sabah Ambil Alih 83 Projek Bekalan Air Luar Bandar Bernilai RM4.06 Bilion

Sabah Ambil Alih 83 Projek Bekalan Air Luar Bandar Bernilai RM4.06 Bilion

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah mengambil alih pelaksanaan 83 projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) bernilai RM4.06 bilion bagi mempercepatkan pelaksanaan dan memastikan manfaat dapat dinikmati masyarakat luar bandar secara lebih berkesan.

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu susulan keputusan Jemaah Menteri bertarikh 17 Mac 2026 yang bersetuju menyerahkan projek BALB kepada Kerajaan Negeri Sabah.

Menurut kenyataan itu, bagi tahun 2026, sebanyak 83 projek baharu dan sambungan telah diluluskan dengan peruntukan RM143 juta di bawah Rolling Plan Pertama (RP1), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

“Langkah ini diambil bagi memperkasa peranan Kerajaan Negeri Sabah dalam mempercepat pelaksanaan projek serta memastikan penyampaian yang lebih berimpak tinggi kepada masyarakat luar bandar,” menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan hari ini dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bagi memastikan proses penyerahan projek berjalan lancar antara KKDW, agensi pusat dan Kerajaan Negeri Sabah.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan beliau telah mengadakan kunjung hormat ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di kediaman rasminya Sri Gaya malam tadi.

Menurutnya, kehadiran beliau ke Sabah adalah bagi memenuhi agenda mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Penyerahan Projek BALB kepada negeri ini.

“Malam tadi, saya telah mengadakan kunjung hormat kepada YAB Ketua Menteri Sabah di kediaman rasmi beliau di Sri Gaya.

“Dalam pertemuan tersebut, saya turut menyerahkan nota rasmi penyerahan pelaksanaan projek BALB bagi pihak KKDW kepada beliau.

“Saya yakin, dengan kesefahaman yang terjalin antara kepimpinan Negeri Sabah dan Persekutuan, segala usaha pembangunan yang dirancang dapat digerakkan dengan lebih lancar demi kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.