TAMBUNAN: Empat individu cedera selepas sebuah kenderaan jenis Toyota Rush terbabas sendiri ke tepi jalan dalam kejadian kemalangan di Kampung Moloson, di sini, pada petang Khamis.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, PPgB Mitchell Francis George berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 3.45 petang sebelum jentera tiba di lokasi kira-kira 11 minit kemudian.
“Komander Operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah kenderaan yang terbabas sendiri ke tepi jalan dengan empat mangsa terlibat terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Menurutnya, kesemua mangsa mengalami kecederaan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba serta petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
Beliau berkata, semua mangsa kemudiannya dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM dan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut.
Operasi melibatkan tujuh anggota BBP Tambunan dengan bantuan tiga petugas KKM.
“Pasukan bomba memastikan tiada sebarang bahaya lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.13 petang,” katanya.






