KENINGAU: Seramai 142 peserta dari seluruh Sabah menyertai Kursus Transformasi Penanaman Durian anjuran Jabatan Pertanian Sabah di Dewan Masyarakat Keningau, mencerminkan peningkatan minat terhadap industri tanaman durian di negeri ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kementerian dalam memperluas pemindahan ilmu kepada petani dan usahawan tani di semua 26 daerah di Sabah.
“Program ini memberi fokus kepada tanaman durian di Keningau, manakala di daerah lain turut dilaksanakan kursus avokado dan pelbagai kursus berkaitan industri makanan.
“Ini adalah usaha Jabatan Pertanian bagi memastikan ilmu dapat disampaikan secara menyeluruh kepada usahawan, petani dan penanam durian,” katanya ketika berucap pada program berkenaan baru-baru ini.
Menurutnya, peserta yang hadir terdiri daripada pelbagai daerah termasuk Pitas, Kota Kinabalu dan Papar, sekali gus menunjukkan minat meluas terhadap sektor agromakanan.
Jamawi berkata, kementeriannya akan terus membantu penggiat industri dari aspek pemasaran melalui kerjasama dengan persatuan berkaitan bagi memastikan produk pertanian dapat dipasarkan dengan lebih berkesan dan memberi pulangan kepada pengusaha.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Keningau disasarkan sebagai lokasi pembangunan pusat pemprosesan hasil pertanian dengan bimbingan Jabatan Pertanian bagi meningkatkan nilai tambah produk tempatan.
Selain itu, program Kebun Dapur akan diperluaskan melalui konsep mentor-mentee melibatkan 23 mentor dalam pelbagai bidang termasuk tanaman durian dan penternakan ayam.
“Pendekatan ini membolehkan peserta dibimbing secara berterusan dan kita menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus peserta berjaya melalui sistem bimbingan yang lebih tersusun,” katanya.
Dalam aspek pembiayaan, kerajaan negeri turut bekerjasama dengan institusi kewangan bagi menyediakan kemudahan pinjaman sehingga RM30,000 tanpa faedah melalui Perbadanan Pinjaman Sabah serta skim pinjaman berkadar rendah sekitar satu peratus melalui Agrobank.
Menurut beliau, inisiatif itu bertujuan membantu lebih ramai peserta menceburi sektor pertanian secara komersial dan mengurangkan kebergantungan kepada subsidi.
Sementara itu, kementerian akan melancarkan Jelajah Kebun Dapur bersempena Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah pada 1 Mei di Papar bagi mempromosikan peluang dan inisiatif dalam sektor pertanian.
Jamawi menegaskan bahawa usaha berterusan dalam pendidikan dan bimbingan adalah penting bagi memastikan sektor pertanian Sabah terus berkembang secara mampan.






