KENINGAU: Seorang lelaki warga emas dan seorang kanak-kanak dilaporkan hilang di sungai di Taman Bersatu, di sini, dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan oleh pasukan bomba sejak petang tadi.
Mangsa, Fredoline Yariki, 60 tahun, dan seorang kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Idan, lingkungan tujuh tahun, yang kedua-duanya masih belum ditemui setakat ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dikejarkan ke lokasi kejadian.
Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 6.20 petang selepas menempuh perjalanan sejauh lapan kilometer, sebelum operasi SAR segera dilancarkan di kawasan persisiran sungai bagi mendapatkan maklumat dan mengesan mangsa.
Operasi tersebut melibatkan sembilan anggota BBP Keningau dengan bantuan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua BBP Keningau, PKPgB Severinus @ Mohd. Nidzam Sainkui berkata, usaha pencarian kini tertumpu di kawasan sekitar lokasi kejadian dengan pemantauan rapi dilakukan bagi menjejaki kedua-dua mangsa.
“Pasukan bomba telah memulakan operasi SAR di sepanjang persisiran sungai sejurus tiba di lokasi. Kami akan memperluaskan pencarian dari semasa ke semasa berdasarkan maklumat yang diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, operasi akan diteruskan sehingga mangsa ditemui, dengan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.






