IRAN: Iran menafikan sebarang rundingan dengan Donald Trump, menyifatkan dakwaan tersebut sebagai “fake news”, ketika ia melancarkan gelombang peluru berpandu ke Tel Aviv pada Selasa.
Serangan itu mencetuskan siren amaran di bandar berkenaan, dengan beberapa bangunan kediaman mengalami kerosakan akibat hentaman atau serpihan pintasan.
Pasukan penyelamat dilaporkan giat mencari mangsa yang mungkin terperangkap, memetik Reuters.
Dakwaan Trump bahawa rundingan “produktif” sedang berlangsung turut dipersoalkan pegawai Iran, manakala sumber serantau menyatakan tiada perbincangan langsung berlaku setakat ini, walaupun saluran perantara masih aktif.
Konflik yang tercetus susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran sebelum ini terus merebak, termasuk ke Lubnan dan Teluk, tanpa tanda jelas akan reda dalam masa terdekat.
Dalam masa sama, pasaran global kembali tidak menentu apabila harga minyak melonjak semula di tengah kebimbangan gangguan bekalan, khususnya melibatkan Selat Hormuz.






