Jemaah Haji Wanita Dari Tawau Meninggal Dunia di Makkah

Jemaah Haji Wanita Dari Tawau Meninggal Dunia di Makkah

0
SHARE

MAKKAH: Seorang jemaah haji wanita berasal dari Tawau, Sabah meninggal dunia di Makkah pada Selasa akibat serangan jantung ketika menunaikan ibadah haji bagi musim 1447H/2026M.

Menurut kenyataan Lembaga Tabung Haji (TH), Allahyarhamah yang berusia 66 tahun merupakan jemaah daripada kumpulan KT82 dan menginap di Hotel Abraj Al-Tayseer di Makkah bersama suaminya.

Allahyarhamah disahkan meninggal dunia di Hospital Saudi German pada 20 Mei kira-kira jam 10.50 pagi.

Dalam kenyataan sama, TH turut memaklumkan seorang lagi jemaah haji lelaki dari Parit Buntar, Perak berusia 64 tahun turut meninggal dunia pada 19 Mei kira-kira jam 8.29 malam akibat asma yang teruk.

Allahyarham merupakan jemaah daripada kumpulan KT79 dan menginap di Al Safwah Hotel di Makkah bersama isterinya sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital King Faisal.

Menurut TH, kedua-dua jenazah telah dibawa ke Masjidil Haram untuk disembahyangkan selepas selesai proses dokumentasi sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Sharayea di Makkah.

TH turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan Allahyarhamah.