Gagasan Rakyat Petagas Sokong GRS Bergerak Solo Jika Tidak Dihormati Sebagai Parti...

Gagasan Rakyat Petagas Sokong GRS Bergerak Solo Jika Tidak Dihormati Sebagai Parti Dominan

0
SHARE

PUTATAN: Gagasan Rakyat Bahagian Petagas menyatakan kesediaan menyokong pendirian agar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bergerak secara solo dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17), sekiranya kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Plus tidak meletakkan GRS sebagai parti dominan dalam pentadbiran negeri.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Petagas, Mohd Isquzawan Israq Arsit berkata, pihaknya memahami dan menyokong amanat Presiden, Datuk Seri Hajiji Noor, bahawa kerjasama dengan PH Plus hanya wajar diteruskan jika kedudukan GRS dihormati dan tidak diketepikan.

“Kita faham bahawa parti tempatan seperti Gagasan Rakyat paling dekat dengan aspirasi rakyat Sabah dari segi budaya, keperluan serta realiti semasa.

“Justeru, jika kerjasama ini membelakangi kedudukan GRS, maka kita bersedia menyokong GRS untuk bergerak secara solo,” katanya kepada media selepas Perasmian Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Petagas di sini, semalam

Perasmian itu disempurnakan oleh Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Masidi Manjun.

Mengulas lanjut, beliau berkata pendekatan kerjasama tidak semestinya ditolak sepenuhnya, namun ia mesti bersifat adil dan menguntungkan Sabah, terutamanya dalam memastikan kemudahan dan pembangunan disalurkan secara berkesan.

“Yang penting, jangan ketepikan GRS sebagai parti dan kerajaan yang sedang memerintah Sabah,” tegas beliau.

Isquzawan turut mengulas spekulasi mengenai kemungkinan perpecahan di kalangan ahli GRS di DUN Petagas jika calon yang diketengahkan tidak diterima semua pihak.

“Dalam mana-mana pilihan raya, isu boikot dan perbezaan pandangan memang biasa berlaku. Namun, apa yang penting ialah calon yang dipilih nanti mestilah individu yang dekat dengan rakyat, khususnya generasi muda,” katanya.

Beliau mendedahkan bahawa kira-kira 60 peratus pengundi di Petagas adalah mereka yang berusia di bawah 40 tahun, sekali gus menuntut keperluan untuk mengetengahkan calon yang boleh memahami serta menyuarakan aspirasi golongan muda.

“Pemimpin muda perlu diberi ruang, tetapi kita juga perlu keseimbangan di mana pemimpin berpengalaman, wanita dan golongan muda harus ada dalam kepimpinan negeri,” ujarnya.

Mengulas mengenai kriteria calon, beliau yakin pimpinan tertinggi GRS akan membuat pemilihan yang tepat.

“Saya percaya pucuk pimpinan tidak akan pilih calon secara sembarangan. Mereka akan pilih yang berpotensi menang dan membawa sumbangan kerusi kepada GRS di Petagas,” katanya, sambil menegaskan bahawa seluruh jentera GRS Petagas akan tetap memberi sokongan kepada calon yang diputuskan nanti.