Peningkatan 13 Kes, Risiko Jangkitan COVID-19 Semakin Tinggi

Peningkatan 13 Kes, Risiko Jangkitan COVID-19 Semakin Tinggi

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Angka jangkitan baharu meningkat kepada 177 kes hari ini iaitu pertambahan 13 kes berbanding hari sebelumnya.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, lebih banyak daerah mencatatkan jangkitan baharu atau mencatat jumlah jangkitan yang lebih tinggi.

“Hari ini 17 daerah merekodkan jangkitan berbanding 10 daerah yang tidak merekodkan sebarang kes baharu…

“Semalam hanya 12 daripada 27 daerah di Sabah merekodkan jangkitan…

“Secara keseluruhan 12 daerah merekodkan pertambahan kes baharu dan cuma 5 daerah yang mencatat penurunan kes harian.

“Lapan (8) daerah yang sebelum ini ‘bersih’ daripada jangkitan kembali merekodkan jangkitan baharu.

“Antaranya ialah Putatan (+17), Sandakan (+12), Kota Belud (+6), Telupid (+5) dan Tambunan (+4),” ulasnya dalam rumusan harian kes.

Katanya, angka jangkitan baharu di Kota Kinabalu turun semula kepada dua angka dengan 85 kes (-35).

Penampang mencatat 18 kes baharu (+5), Putatan 17 kes (+17) dan Sandakan 12 kes (+12).

Beliau berkata empat daerah tersebut merupakan daerah-daerah yang mencatat angka jangkitan baharu dua angka. Sebanyak 13 daerah lain mencatatkan kes satu angka.

“Jumlah sampel ujian yang lebih tinggi juga sedikit-sebanyak mempengaruhi peningkatan angka jangkitan…

“Hari ini jumlah sampel ujian ialah 2,039 dengan kadar positiviti hampir 12.2 peratus berbanding 1,465 sampel kelmarin dengan kadar positiviti 14.5 peratus.

“Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, kadar positiviti yang tinggi adalah satu indikator atau petunjuk kadar penularan virus yang lebih cepat.

“Kesannya, risiko jangkitan juga semakin tinggi,” tegas beliau.

Walau bagaimanapun, kesemua 177 kes yang direkodkan hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2 dan tidak memerlukan rawatan khusus.

Berikut merupakan pecahan kes positif COVID-19 negeri Sabah mengikut daerah hari ini (12 Julai 2022) dibandingkan dengan angka kes kelmarin (dalam kurungan):

Kota Kinabalu 85 (120)
Penampang 18 (13)
Putatan 17 (0)
Sandakan 12 (0)
Tuaran 9 (9)
Kota Belud 6 (0)
Papar 5 (5)
Telupid 5 (0)
Ranau 4 (1)
Tambunan 4 (0)
Tawau 4 (2)
Keningau 2 (2)
Kuala Penyu 2 (1)
Kinabatangan 1 (0)
Kota Marudu 1 (4)
Semporna 1 (0)
Sipitang 1 (0)
Beaufort 0 (0)
Beluran 0 (0)
Kalabakan 0 (0)
Kudat 0 (1)
Kunak 0 (0)
Lahad Datu 0 (0)
Nabawan 0 (0)
Pitas 0 (1)
Tenom 0 (5)
Tongod 0 (0)