KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya tiga penyokong Arsenal dari Sabah terbang ke London bagi menyertai perarakan kemenangan Liga Perdana Inggeris pada 31 Mei lalu, bersama lebih 800,000 peminat di utara London.
Perarakan melalui Borough of Islington itu berakhir berhampiran Stadium Emirates, dengan pasukan lelaki dan wanita Arsenal muncul menaiki bas terbuka bersama trofi liga.
Arsenal mengesahkan kejuaraan musim 2025–26 selepas menewaskan Crystal Palace 2-1 pada hari terakhir, menamatkan saingan dengan 85 mata.
Presiden Sabah Arsenal Supporters (SAS), Mohamed Sadik Mohamed Jaafar berkata, penyokong dari Sabah turut menjadi sebahagian daripada sambutan global itu.
“Kami sudah yakin lebih awal. Selepas menang 1-0 ke atas West Ham, kami terus beli tiket sebelum kejuaraan disahkan,” katanya.
Menurutnya, tiga ahli SAS dari Kota Kinabalu dan Sandakan tiba sehari lebih awal dan sempat menyaksikan final Liga Juara-Juara di sebuah pub tempatan.
“Seawal 8 pagi, bandar sudah dipenuhi jersi Arsenal. Kedai pun tutup kerana bimbang orang terlalu ramai,” katanya.
Beliau menyifatkan suasana sebagai meriah dan luar biasa.
“Memang kelam-kabut, tapi semua hanya mahu meraikan selepas 22 tahun menunggu,” katanya.
Arsenal bagaimanapun tewas dalam final Liga Juara-Juara 2026 kepada Paris Saint-Germain menerusi penentuan penalti selepas seri 1-1.
Sadik berkata, perjalanan itu menelan kos kira-kira RM7,000, namun berbaloi dengan pengalaman yang diperoleh.
SAS yang mempunyai sekitar 500 ahli kini merancang lawatan berkumpulan ke Stadium Emirates tahun ini.






