KOTA KINABALU: Penganjuran Borneo Safari bukan sahaja menghimpunkan peminat sukan pacuan empat roda dari dalam dan luar negara, malah berpotensi menjadi platform mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan antarabangsa menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, program seumpama itu memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan negeri menerusi penyertaan peserta dari pelbagai lokasi, termasuk Sarawak, Semenanjung Malaysia dan luar negara.
Beliau berkata, penganjuran Borneo Safari diharap dapat diteruskan pada tahun depan bagi memeriahkan sambutan Tahun Melawat Sabah 2027, selain mengekalkan daya tarikan acara berkenaan dalam kalendar pelancongan negeri.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan Borneo Safari di Dewan Hakka, di sini, semalam.
Pada majlis itu, Jamawi turut merakamkan ucapan tahniah kepada Presiden Sabah Four Wheel Drive Association (SFWDA), Faez Nordin serta seluruh jawatankuasa penganjur atas kejayaan menjayakan program berkenaan.
Beliau turut menghargai sokongan semua penaja yang menyumbang kepada kelancaran penganjuran Borneo Safari tahun ini serta penyertaan peserta yang datang dari pelbagai lokasi.
Dalam majlis sama, Jamawi turut mengumumkan tambahan hadiah wang tunai kepada para pemenang sebagai penghargaan terhadap pencapaian dan penyertaan mereka dalam acara berkenaan.
Hadir sama ialah Penolong Pengurus Bahagian Latihan Light Commercial Vehicle Division (LCVD), Masri Sani Kasmoi yang mewakili penaja Diamond; Pengurus Kanan Bahagian Strategi dan Pemasaran Bahan Api PETRONAS Dagangan Berhad, Tengku Intan Syarinaz Tengku Mahama; Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pengangkutan Jalan Sabah, Azaman Poji serta Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia, Mohd Khairol Nizam Mohamad Ibrahim Khan.






