KUALA LUMPUR – Pegawai Khas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membidas tuduhan campur tangan untuk menyegerakan kes mahkamah melibatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahupun Datuk Seri Najib Razak.
Kamarul Zaman Yusoff berkata dalam satu kenyataan hari ini berkata Ismail juga tidak pernah berjanji dengan mana-mana pihak untuk menukar Peguam Negara sebaik beliau menjawat jawatan nombor satu dalam Kerajaan itu.
Dakwaan tersebut terdahulu dibuat oleh bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang dilihat sebagai tidak lebih sekadar kenyataan berniat jahat untuk memecah-belahkan parti.

“Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat ke atas tuduhan jahat ini. Adalah diharapkan agar usaha mana-mana ‘trojan horse’ untuk memecah-belahkan parti dari dalam atau untuk menjatuhkan Kerajaan semasa akan menemui kegagalan,” katanya.
Lokman baru-baru ini yang mendakwa Ismail Sabri telah berjanji dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tidak menukar Peguam Negara dan pada masa sama akan menyegerakan kes melibatkan Najib dan Ahmad Zahid.
“Nombor 7, tuan-tuan, Ismail Sabri telah berjanji tidak akan menukar Peguam Negara…
“Saya nak beritahu dengan saudara-saudara, kepada pengamal undang-undang, mereka jauh lebih tahu bahawa janji Ismail Sabri ini juga sudah salah dari segi undang-undang, kerana bagaimana dia boleh berjanji dengan Muhyiddin, seorang pihak ketiga, bahawa dia tidak akan menukar Peguam Negara?
“Yang paling teruk sekali, saudara-saudara, Ismail Sabri Nombor 9 berjanji, tuan-tuan, berjanji, dia berjanji, saudara-saudara, akan menyegerakan, akan menyegerakan kes-kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan juga Datuk Seri Najib Razak.
“Itu sebab Datuk Najib dihantar ke penjara, dan sekarang ini mereka nak segerakan kes untuk menghantar pula Datuk Seri (Ahmad) Zahid ke penjara,” Lokman sebelum ini berkata.
Beliau turut menggesa kepimpinan UMNO untuk mengambil tindakan disiplin ke atas Ismail Sabri.
Kamarul Zaman mengingatkan bahawa ‘Perjanjian Persefahaman Bagi Mengikat Usahasama Dan Kesepaduan Politik Serta Protokol Untuk Pembentukan Kerajaan Baharu’ – telah ditandatangani antara Ismail Sabri dan Muhyiddin selaku Pengerusi Perikatan Nasional pada 17 Ogos 2021.
“Perjanjian itu dimeterai antara kedua-dua pemimpin politik tersebut bagi menjamin kestabilan Kerajaan Persekutuan selagi belum capai tarikh pembubaran Parlimen untuk Pilihan Raya Umum seterusnya…
“Tiada butiran yang pelik, meragukan, apatah lagi merugikan kepentingan UMNO. Perlu diingati suasana ketika waktu itu, di mana Muhyiddin telah terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-8 ekoran tindakan beberapa ahli Dewan Rakyat UMNO menarik kembali sokongan mereka ke atas kerajaan PN pimpinan beliau,” katanya.
Beliau berkata dalam situasi tersebut, setelah dikhianati oleh sebahagian ahli Dewan Rakyat UMNO, sudah pastilah Muhyiddin dan PN, sukar sekali menyokong ahli Dewan Rakyat UMNO sebagai pengganti beliau melainkan jika dapat dipastikan kepentingan PN turut terjaga.
“Tiada butiran perjanjian yang melampau sebaliknya butiran-butiran yang ada hanyalah seperti jumlah anggota Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri yang diperuntukkan kepada parti-parti dikekalkan,” katanya.
Tambahnya lagi, pengekalan pelantikan ahli-ahli parti anggota PN dalam Badan-Badan Berkanun dan Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) turut bersetuju.
Kamarul berkata, ia sesuatu yang amat mendukacitakan sekali apabila Lokman sewaktu bersiaran pada malam Hari Kemerdekaan, 31 Ogos 2022, telah membuat beberapa dakwaan liar yang merosakkan nama baik Ismail Sabri selaku Perdana Menteri, dan Naib Presiden kanan UMNO.





