Pemilik S15 Kecewa Kereta Dicalar ‘Model’ Bergambar Tanpa Kebenaran

Pemilik S15 Kecewa Kereta Dicalar ‘Model’ Bergambar Tanpa Kebenaran

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang pemilik kereta jenis Nissan Silvia S15 di sini meluahkan rasa kecewa selepas kenderaannya dicalar oleh seorang individu yang menggelar dirinya sebagai model, selepas bertindak memanjat dan bergambar di atas kereta tersebut tanpa kebenaran semasa acara CULT Auto Show yang diadakan baru-baru ini di Grand Merdeka Mall.

Kerosakan dipercayai berpunca daripada geseran kasut bertumit tinggi ketika wanita terbabit cuba menaiki bahagian penutup enjin untuk berposing.

Menurut rakan kepada pemilik kereta berkenaan, tindakan tidak bertanggungjawab individu tersebut telah menyebabkan bahagian sisi kereta berkenaan tercalar.

Beliau kemudian memuat naik hantaran di Facebook sebagai peringatan kepada penganjur serta pengunjung acara automotif agar lebih beradab dan menghormati kenderaan peserta.

“Rakan saya ini jenis yang rendah diri dan tidak suka mencetuskan kekecohan, namun sebagai pencinta dunia automotif, saya rasa perlu bersuara.

“Tidak diketahui dari mana datangnya ‘syarat’ yang membolehkan seseorang model memanjat kereta peserta tanpa kebenaran pemilik,” tulisnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pemilik kereta tersebut telah membelanjakan ribuan ringgit bagi membeli alat ganti baharu dan menukar warna cat, selain menunggu lama sebelum kereta itu siap diubah suai sepenuhnya.

“Kereta itu baru sahaja siap selepas sekian lama proses ubah suai. Ini pula acara pertama disertainya selepas siap ‘tukar wajah’, tetapi malangnya sudah tercalar akibat sikap individu yang tiada pertimbangan,” katanya lagi.

Insiden berkenaan turut menarik perhatian komuniti peminat automotif di media sosial yang mengecam tindakan model terbabit sebagai tidak profesional serta tidak menghormati hasil usaha dan pelaburan pemilik kenderaan.