TELUPID: Empat individu maut selepas kereta Proton Saga BLM yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori Isuzu di hadapan Kedai Makan Rosalinda, Kampung Gambaron di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, PPgB Nurazlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.28 pagi sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, lokasi kejadian terletak kira-kira 93 kilometer dari BBP Beluran.
“Setibanya pasukan di lokasi, didapati kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah lori Isuzu dan Proton Saga BLM yang bertembung dari arah bertentangan.
“Terdapat empat mangsa di dalam Proton Saga berkenaan dan kesemua mereka berjaya dikeluarkan dengan kerjasama pasukan Bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Bagaimanapun, kesemua empat mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nurazlan Shah berkata, identiti kesemua mangsa yang maut belum diperoleh dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, pemandu lori terbabit mengalami kecederaan ringan dan diberikan rawatan awal oleh petugas KKM sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Telupid untuk rawatan lanjut.
Operasi diketuai PBK I Rahmat Rudat dengan kekuatan tujuh anggota BBP Beluran serta turut dibantu PDRM, APM dan KKM.
Operasi ditamatkan pada jam 9.58 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.






