KOTA KINABALU, SABAH – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Haji Yakub Khan berkata, rakyat harus berbangga menjadi sebahagian daripada negara yang berdaulat, yang mana kerana kemerdekaan mereka dapat mengecapi kehidupan dalam suasana yang harmoni, aman dan sejahtera.
Katanya, sebagai warganegara bumi yang bertuah ini, rakyat seharusnya bersyukur atas apa yang dinikmati hari ini.
“Dengan nikmat kemerdekaan yang dikecapi, kita dapat hidup dengan lebih selesa, harmoni dan makmur serta bertolak ansur dalam kehidupan harian, selari dengan tema sambutan hari kebangsaan pada tahun ini.
“Hidup dalam perpaduan antara kaum dan etnik merupakan nikmat yang amat berharga dan tidak ternilai harganya, kerana itulah ia perlu dibelai, dipupuk dan dipelihara dalam setiap insan agar kemerdekaan Malaysia terus dipertahankan,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan program Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022, Peringkat Daerah Kota Kinabalu yang diadakan di perkarangan tempat letak kereta KKIP Salut Commercial Centre Sepanggar, kelmarin.
Yakub berterima kasih atas penganjuran program tersebut yang mengumpulkan ramia kehadiran untuk sama-sama memeriahkan program Kembara Merdeka Keluarga Malaysia pada kali ini.
Beliau berharap, majlis seumpama ini, dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim, persefahaman, kemesraan dan kerjasama sesama rakyat sebagai sebuah Keluarga Malaysia yang majmuk.
“Di kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat kerana usaha gigih dan dedikasi anda semua dalam merencana, menyusun dan seterusnya menzahirkan program kita pada hari ini.
“Ucapan tahniah harus diberikan kepada Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sabah, di atas usaha untuk mengelolakan sambutan Bulan Kebangsaan yang di sambut pada saban tahun kepada rakyat di negeri ini dan Malaysia amnya.
“Setinggi penghargaan juga diucapkan kepada Pejabat Penerangan Daerah Kota Kinabalu, DBKK, PDRM, JKR, RELA, WTW dan KKIP Management atas usaha dan komitmen dalam menjayakan program pada hari ini,” ujar beliau.
Bersempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, Yakub mengajak rakyat bersama-sama menyemai semangat patriotisme dan nasionalisme dalam diri masing-masing.
“Ibarat kata pepatah, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, inilah saatnya bagi kita semua menumpahkan rasa taat setia dan meluahkan kecintaan buat tanah tumpahnya darah kita,” kata beliau.
Sementera itu, beliau menyeru kepada segenap masyarakat untuk bersama-sama bagi mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing, tidak kira di pejabat, di rumah atau di gerai dan juga di warung atau pun di kenderaan masing-masing.
“Buanglah sikap hanya menunggu dan mengharapkan pemberian Jalur Gemilang secara percuma daripada mana-mana pihak, sama ada kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO).
“Kerana setiap individu di negara ini perlulah mengubah persepsi bahawa hanya agensi kerajaan sahaja yang berperanan bagi meraikan sambutan ini, apabila tibanya bulan Ogos pada setiap tahun.
“Sekiranya ada ternampak Jalur Gemilang yang telah lusuh atau koyak, ambillah inisiatif untuk menukarkannya dengan yang baharu atau maklumkan kepada pemilik premis agar Jalur Gemilang tersebut dapat digantikan dengan yang baharu,” jelas beliau.
Yakub juga mengajak rakyat di sini agar bertekad untuk menerap mentaliti dan menyuntik sikap peduli dalam kalangan masyarakat agar mereka memandang tinggi dan menghormati Jalur Gemilang sebagai lambang identiti negara yang gah ini.
“Janganlah kita mengambil mudah perihal menjaga martabat dan identiti serta imej negara, marilah kita bersama-sama untuk memelihara perpaduan yang telah sekian lamanya terbina, agar ia dapat membentuk sebagai sebuah keluarga besar Malaysia.
“Maka didiklah anak-anak kita akan pentingnya semangat cinta dan sayangkan negara, bukan sahaja kepada generasi masa kini, tetapi juga kepada generasi yang akan datang, bak kata bidalan melentur buluh, biarlah dari rebungnya,” jelas beliau.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah DBKK mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Rosnah Datu Tumai, Pemangku Pengarah Penerangan Negeri Sabah, Supian Musa, Panglima Armada Timur TLDM Kota Kinabalu, Laksmana Madya Datuk Sabri Zali, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah, Timbalan Pengarah Pengurusan Jabatan Wilayah Laut Sabah, Daar Biskai @ Adam Malik, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karambunai, Matlan Haji Taman, PPM Darau, Nur Farahin Datuk Jumat, Pakar Perubatan Kesihatan Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Dr Suhaila Osman, wakil WTW dan KKIP Management, Nita Madaud, Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Dullah Muluk, Pengarah Institut Latihan Perindustrian Sabah (ILP), Sudirman Hammade, Pengarah Institut Kemahiran Mara Kota Kinabalu, Nazahiyah Mat Isa, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Asri Mali, Setiausaha UMNO Bahagian Sepanggar, Wan Maridah Chomar, ahli-ahli Komuniti Keluarga Malaysia (KKM) Kg. Unggun, KKM Kg. Lapasan dan KKM Kg. Karambunai, ketua-ketua jabatan, agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan Daerah Kota Kinabalu, pemimpin-pemimpin masyarakat dan lain-lain.