KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperkukuh hubungan strategik dengan pengamal media melalui satu taklimat khas yang diadakan di Kota Kinabalu bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah Ke-17.
Lebih 70 pengamal media menyertai program anjuran Akademi Pilihan Raya dengan kerjasama Unit Komunikasi Korporat (UKK) SPR, yang bertujuan memberikan pendedahan serta panduan komprehensif kepada pihak media mengenai proses pilihan raya dan penggunaan istilah yang tepat dalam pelaporan berita.
Menurut Timbalan Pengarah Akademi Pilihan Raya, Datuk Puteh Hidayah Ab Rahman, kehadiran tinggi pengamal media membuktikan komitmen dan minat yang besar terhadap usaha memperkukuh pemahaman serta profesionalisme dalam liputan pilihan raya.
“Alhamdulillah, program hari ini berjalan lancar. Kita dapat berkongsi maklumat penting berkaitan proses pilihan raya supaya pihak media lebih memahami dengan jelas.
“Taklimat ini turut menyentuh panduan ‘do’s and don’ts’, peraturan serta garis panduan liputan bagi memastikan laporan media selaras dengan kehendak undang-undang dan etika pelaporan,” katanya ketika ditemui media.
Beliau menambah, pandangan serta cadangan yang dikemukakan oleh pihak media sebelum ini turut diambil perhatian sebagai langkah penambahbaikan kepada pengurusan PRU DUN Sabah akan datang.
Datuk Puteh berharap taklimat seumpama itu dapat memastikan laporan media lebih tepat, sahih dan berintegriti, selain memperkukuh hubungan komunikasi antara media dan SPR dalam memastikan proses pilihan raya berjalan lancar, telus dan teratur.






