Skuad Badminton Lelaki Negara Rangkul Gelaran Juara Kejohanan BATC 2022

Skuad Badminton Lelaki Negara Rangkul Gelaran Juara Kejohanan BATC 2022

0
SHARE

SHAH ALAM, SELANGOR – Skuad lelaki badminton negara merangkul gelaran sulung pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 selepas menundukkan musuh tradisi Indonesia dengan 3-0 dalam aksi final petang tadi.

Ini sekaligus menamatkan dominasi Indonesia dalam kejohanan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, di sini.

Skuad lelaki badminton Indonesia yang tampil dalam aksi final itu sebagai juara bertahan tiga kali berturut-turut selepas menjuarainya bermula edisi pertama pada 2016 di Hyderabad, 2018 di Kedah dan 2020 di Manila.

Pencapaian terbaik skuad negara pula sebelum ini adalah mara ke final di Manila, dua tahun lalu namun tewas di tangan Indonesia 1-3.

Pada aksi hari ini, jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menyumbang mata pertama pasukan selepas menundukkan Chico Aura Dwi Wardoyo 14-21, 21-12, 21-10.

Rentak kecemerlangan Zii Jia diteruskan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang mengekalkan rekod tanpa kalah ke atas Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin apabila menang 17-21, 21-13, 21-18 untuk menyumbang mata kedua.

Mata kemenangan Malaysia dalam perlawanan itu disumbangkan perseorangan kedua, Ng Tze Yong yang mengetepikan cabaran Leonardo Imanuel Rumbay 21-14, 21-15.