TUARAN: Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera terhadap satu hantaran di media sosial yang mengandungi dakwaan palsu serta kenyataan mengelirukan berkaitan Sabah oleh individu yang mendakwa dirinya ‘Sultan Sulu’.
Pengerusi PAKAS, Keyafatullah Malik Aman berkata laporan polis berhubung perkara itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran malam tadi bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan lanjut.
Beliau berkata hantaran menerusi akaun Facebook atas nama “Sultan Muedzul-Lail Tan Kiram” itu dikesan mengandungi dakwaan berkaitan operasi penahanan dan penghantaran pulang warga Filipina, selain mendakwa berlaku kematian dalam pusat tahanan di Sabah akibat kesesakan.
“Hantaran itu turut menyertakan sekeping gambar dengan kapsyen ‘Tausug inside the detention cell in Sabah’.
“Bagaimanapun, semakan awal menerusi sumber terbuka mendapati gambar berkenaan disyaki gambar lama dari Penjara Quezon City, Manila yang digunakan di luar konteks,” katanya ketika ditemui di sini.
Keyafatullah, yang juga Pengasas TigaSatuTiga Channel berkata penyebaran kandungan sedemikian tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyentuh isu sensitif serta berpotensi menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara.
Beliau menegaskan penyebaran naratif tanpa pengesahan berasaskan fakta boleh membentuk persepsi salah masyarakat termasuk di peringkat antarabangsa, selain menghakis keyakinan terhadap institusi penguatkuasaan negara.
“Sabah bukan asing daripada ancaman keselamatan yang berkaitan dengan tuntutan Kesultanan Sulu, justeru setiap naratif yang menyentuh kedaulatan negeri perlu dinilai secara serius.
“Laporan ini bukan untuk menuduh mana-mana pihak, tetapi membolehkan pihak berkuasa menyiasat kesahihan dakwaan, penggunaan gambar serta sumber penyebaran kandungan tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia dapat meneliti perkara berkenaan mengikut bidang kuasa masing-masing.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak mudah berkongsi sebarang kandungan yang belum disahkan kesahihannya, khususnya yang melibatkan isu keselamatan dan hubungan diplomatik negara.






