KOTA KINABALU: Sedcovest Holdings Sdn Bhd membuka ruang kerjasama strategik dengan Persatuan Wanita Tobilung Kota Marudu (Konduan Tobilung) dan Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) Langkon bagi memperkasa usahawan wanita serta memelihara warisan budaya etnik Tobilung melalui pelbagai program pembangunan.
Kerjasama itu dibincangkan dalam kunjungan hormat kedua-dua organisasi berkenaan ke atas Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn Bhd, Datuk Redonah Bahanda, di sini.
Delegasi Persatuan Wanita Tobilung Kota Marudu diketuai Pengerusinya, Rusiah Salintap bersama Setiausaha, Christina Saidi, manakala rombongan SAANS Langkon diketuai Pengetuanya, Timis Sambadi.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pelaksanaan inisiatif yang mampu meningkatkan penyertaan wanita, khususnya di luar bandar, dalam bidang keusahawanan melalui latihan kemahiran, pembangunan kapasiti dan bimbingan perniagaan.
Redonah berkata, Sedcovest komited melahirkan lebih ramai usahawan wanita yang berdaya saing menerusi pelaksanaan kursus, latihan kemahiran serta program pembangunan perniagaan secara berterusan.
“Wanita mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi keluarga dan negeri. Mereka perlu diberi peluang, pendedahan dan latihan berterusan bagi mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya.
Beliau turut menyambut baik cadangan kerjasama dengan Persatuan Wanita Tobilung Kota Marudu dan SAANS Langkon untuk menganjurkan program latihan keusahawanan, pembangunan produk tempatan serta inisiatif pemeliharaan warisan budaya etnik Tobilung.
Menurutnya, gabungan elemen budaya dan keusahawanan mampu mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat di samping memastikan khazanah budaya masyarakat terus dipelihara dan diwarisi generasi akan datang.
Sementara itu, kedua-dua rombongan merakamkan penghargaan atas kesediaan Sedcovest menerima kunjungan berkenaan serta berharap kerjasama yang dirancang dapat direalisasikan melalui pelbagai program yang memberi manfaat kepada wanita dan komuniti di Sabah.






