Jamawi Tunjuk Cara Cantuman Pokok Buah, Sasar Lahirkan Usahawan Nurseri

Jamawi Tunjuk Cara Cantuman Pokok Buah, Sasar Lahirkan Usahawan Nurseri

0
SHARE

TUARAN: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar mengadakan demonstrasi cantuman pokok buah-buahan di hadapan lebih 100 petani di pentas Padang Istadat, di sini, pada Sabtu.

Program tersebut merupakan antara pengisian bagi Inisiatif Kebun Dapur yang dijadual dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini (Feb 15).

Jamawi bersama isteri menunjukkan teknik cantuman bagi tanaman Avocado QAV1, manakala bagi durian melibatkan varieti Tupai King dan Musang King.

Melalui program itu, para petani turut berpeluang bertemu dan berinteraksi secara bersemuka dengan beliau bagi mendapatkan penerangan lanjut berkaitan teknik penanaman dan penjagaan tanaman.

Sebanyak antara 100 hingga 150 anak pokok daripada ketiga-tiga jenis tanaman berkenaan diagihkan secara percuma kepada peserta, manakala perkakas tanaman turut disediakan oleh Jamawi.

Beliau berharap para peserta dapat memanfaatkan ilmu yang dikongsikan dan seterusnya mencapai hasil yang memberangsangkan dalam usaha tanaman masing-masing.

“Harapan saya setinggi gunung, agar kamu semua dapat menjadi pengusaha nurseri pada masa akan datang. Kalau bukan pengusaha nurseri, sekurang-kurangnya menjadi penanam durian daripada benih yang kamu terima hari ini,” katanya.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Leonard Stephen Poyong; Timbalan Setiausaha Tetap, Maria David Edick; pengurus-pengurus besar jabatan dan agensi kementerian serta pegawai-pegawai kementerian.

Program turut diisi dengan slot Benih Ikan Air Tawar yang dihoskan oleh Tenghilan Fish Valley serta demonstrasi Pembuatan Makanan Untuk Unggas (Makanan Alternatif Haiwan Ternakan) yang dikendalikan oleh Bolashi dan Azolla.

Jamawi kemudian diiringi Leonard melawat gerai-gerai pameran yang disediakan sepanjang program berkenaan.