KOTA KINABALU: Sabah Shell Petroleum Company Limited (SSPC) memperbaharui komitmennya untuk terus membangunkan bakat belia Sabah sebagai juruteknik minyak dan gas bertauliah menerusi lanjutan program “Sabah Petroleum Operations Technicians” (SPOT).
Komitmen itu dimeterai melalui pemeteraian dan pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara SSPC dan TAS Institute of Oil & Gas (TAS) pada Majlis Konvokesyen ke-12 TAS di kampusnya di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), pada Sabtu.
Majlis tersebut disaksikan Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Mohd Ishak Ayub yang mewakili Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SMJ Energy, Datuk Dr Dionysia Kibat, wakil SMJ Energy, Lembaga Pengarah TAS Group serta syarikat pengendali petroleum (PAC) lain yang menyertai program berkenaan.
Program SPOT yang dimulakan pada 2017 kini memasuki tahun ke-10 pelaksanaannya. Melalui kerjasama ini, SSPC akan terus menyediakan latihan amali industri kepada pelatih terpilih.
Setiap tahun, lapan pelatih terbaik akan menjalani latihan sambil bekerja selama dua minggu di dua platform laut dalam Shell Malaysia di Sabah iaitu Malikai Tension Leg Platform (TLP) dan Gumusut-Kakap Floating Production System (FPS).
Sejak diperkenalkan, program SPOT turut disertai beberapa PAC lain, sekali gus memperluas peluang kepada lebih ramai belia Sabah memperoleh pengalaman bekerja di luar pesisir. Inisiatif ini membantu graduan TAS mendapatkan pekerjaan dalam dan luar negara, malah ada yang ditawarkan pekerjaan sebelum tamat pengajian.
Seramai 58 pelajar diraikan sebagai graduan pada majlis kali ini, dengan kadar kelulusan 100 peratus.
Dalam ucapannya, Pengarah Eksekutif TAS, Datuk Willie Ng berkata institusi itu berbangga melahirkan juruteknik yang bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, tetapi juga bersedia bekerja, berdisiplin tinggi serta menitikberatkan aspek keselamatan dan piawaian industri.
TAS Institute of Oil & Gas yang ditubuhkan pada 16 Ogos 2008 menawarkan sijil Business and Education Council (BTEC) Tahap Dua dan Tiga dalam program juruteknik kejuruteraan operasi minyak dan gas.
Program ini terbuka kepada lepasan SPM yang mengikuti latihan selama dua tahun di kampus TAS di Sabah.






