KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan Anak Negeri Sabah mengetepikan keputusan Mahkamah Anak Negeri Papar yang sebelum ini memerintahkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri membayar sogit tiga ekor kerbau dan RM3,000 kerana menggoda isteri orang.
Mahkamah mendapati prosiding di Mahkamah Anak Negeri Papar tidak teratur dan tidak mematuhi undang-undang, termasuk saman yang tidak sah di bawah Kaedah 7 Kaedah-Kaedah Mahkamah Anak Negeri (Amalan dan Tatacara) 1995, bayaran yuran difail selepas keputusan dibuat, serta tiada notis pendengaran dikeluarkan.
Kes berkenaan difailkan pada Oktober 2024 oleh Datuk Claudius Roman terhadap Datuk Robert Stidi atas dakwaan menggoda isterinya, Donna Elizabeth Kong.
Mahkamah mendapati gambar yang dikemukakan hanya menunjukkan keakraban tetapi tidak membuktikan berlaku zina atau “mianu-anu”.
Tiada keterangan saksi direkod, tiada nota prosiding, dan bahan bukti seperti mesej serta tempahan hotel gagal mengaitkan defendan dengan isteri plaintif.
“Mahkamah tidak boleh menilai bukti teknologi moden seperti mesej dan gambar tanpa mematuhi tatacara undang-undang yang sah,” menurut panel hakim.
Plaintif diwakili peguam Jecky Lettong dan Isaiah Majinbon, manakala defendan diwakili Mark Sitiwin dan Beverley Ramona Tan.
Majinbon dalam kenyataan berkata keputusan itu menunjukkan cabaran antara keperluan mematuhi piawaian undang-undang moden dan peranan Mahkamah Anak Negeri dalam menegakkan adat serta keadilan berasaskan komuniti.






