TAMBUNAN: Kerjasama strategik antara Sabah Credit Corporation dan AgriData diyakini mampu memperkukuh transformasi sektor pertanian negeri melalui pemodenan teknologi, pemerkasaan usahawan serta peningkatan tahap keterjaminan makanan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak serta perasmian AgriSpark itu menjadi platform penting dalam memperluas kerjasama antara agensi kerajaan dan rakan industri.
“Kerjasama strategik ini mampu memberi impak positif khususnya dalam membuka peluang kepada lebih ramai anak muda mendapatkan garis panduan dan idea untuk menceburi sektor pertanian melalui kerjasama bersama AgriData,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di sini, pada Sabtu.
Turut hadir Ahli Parlimen Keningau dan ADUN Tambunan, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), Datuk Jumain Abdul Ghani; mantan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pinjaman Sabah, Datuk George Taitim Tulas; serta mantan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Jamawi berkata, kerjasama antara agensi kerajaan dan pemain industri amat penting bagi meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) negeri dengan mengurangkan kebergantungan kepada import serta memperkukuh pengeluaran hasil pertanian tempatan.
Menurutnya, tiga komoditi utama yang masih mencatat kadar import tinggi ialah beras, bawang, jagung (makanan ternakan) dan sayur-sayuran.
“Penduduk Sabah menggunakan kira-kira 286,489 tan beras setahun, namun kita hanya mampu menghasilkan sekitar 56,000 tan. Selebihnya, lebih 230,000 tan adalah beras import, antaranya dari Vietnam.
“Kerajaan juga memperuntukkan kira-kira RM80 juta subsidi bagi penanaman padi di luar negara. Justeru, idea mewujudkan Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) akan saya usahakan bersungguh-sungguh bagi meningkatkan SSL padi negeri,” katanya.
Beliau menegaskan kementeriannya komited menyokong peralihan daripada pertanian tradisional kepada pertanian berasaskan teknologi bagi meningkatkan hasil dan pulangan kepada petani.
“Penggunaan teknologi moden diyakini mampu mempercepat proses pemodenan sektor pertanian sekali gus meningkatkan daya saing industri tempatan di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.
Jamawi berkata, sejak hari pertama menjawat jawatan menteri, beberapa inisiatif telah diperkenalkan bagi memperkukuh keterjaminan makanan dan meningkatkan penglibatan rakyat dalam sektor pertanian.
Antaranya ialah Program Kebun Dapur yang menggalakkan penghasilan tanaman, perikanan dan ternakan berskala kecil mengikut kesesuaian kawasan dan kemampuan isi rumah bagi memastikan sumber makanan asas, termasuk protein, dapat diperoleh secara lebih kendiri.
Selain itu, Program Mentor–Mentee Pertanian turut dilaksanakan bagi mengenal pasti golongan muda yang aktif dalam bidang berkenaan untuk membimbing generasi baharu menceburi sektor pertanian.
Dalam pada itu, beliau memuji usaha anak muda yang juga Mentor dalam program tersebut, Matthew Johnny Kulai, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama AgriData yang mengusahakan penanaman sayur-sayuran seperti salad, tomato kristal, tomato ceri, timun Jepun dan strawberi.
Jamawi berharap kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan AgriData dapat diteruskan bagi memastikan sektor pertanian Sabah berkembang secara mampan serta memberi manfaat berterusan kepada rakyat.






