KOTA BELUD: Seorang lelaki berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari pokok ketika menjalankan aktiviti memburu bersama rakan di kawasan hutan Sapoda, di sini, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PPgB Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.45 malam memaklumkan terdapat seorang mangsa tidak sedarkan diri akibat terjatuh dari pokok.
“Menurut maklumat awal, rakan mangsa telah keluar dari kawasan hutan untuk menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan.
“Pasukan bomba menghadapi kesukaran untuk ke lokasi kerana laluan tidak dapat dilalui kenderaan. Anggota bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Ranger Sapoda terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira tiga kilometer untuk sampai ke tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, sepasukan lima anggota bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 39 kilometer dari balai dan tiba pada jam 8.25 malam.
Setibanya di lokasi, mangsa didapati dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di tempat kejadian.
“Pasukan bomba bersama Ranger Sapoda kemudian membawa keluar mangsa ke jalan utama menggunakan jungkin stretcher sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi yang turut melibatkan enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua petugas KKM, dua Ranger Sapoda serta 12 orang awam itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.56 malam.






