Enam Gunung Berapi di Indonesia Meletus Pada Hari Sama

Enam Gunung Berapi di Indonesia Meletus Pada Hari Sama

0
SHARE

JAKARTA: Enam gunung berapi aktif di Indonesia dilaporkan meletus pada hari yang sama, namun pihak berkuasa menegaskan kejadian itu berlaku secara berasingan dan bukan disebabkan satu proses geologi yang sama.

Menurut laporan Astro AWANI, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) memaklumkan antara gunung berapi yang mengalami letusan ialah Gunung Ibu di Maluku Utara, Gunung Semeru di Jawa Timur, Gunung Lewotobi Laki-laki dan Gunung Ile Lewotolok di Nusa Tenggara Timur (NTT).

Aktiviti letusan turut dilaporkan membabitkan Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda dan Gunung Sinabung di Sumatera Utara.

Ketua PVMBG, Rita Susilawati berkata, kejadian beberapa gunung berapi meletus dalam tempoh sama bukan sesuatu yang luar biasa memandangkan Indonesia terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik dan mempunyai 127 gunung berapi aktif.

Menurutnya, setiap gunung berapi mempunyai sistem magma dan proses vulkanik tersendiri serta tiada bukti menunjukkan letusan berkenaan saling mempengaruhi antara satu sama lain.

“Proses meletus antara satu gunung dengan gunung yang lain adalah berbeza.

“Kami tidak menemukan bukti adanya satu proses geologi yang meletus secara serentak,” katanya.

PVMBG turut menjelaskan pergerakan kerak bumi tidak semestinya mencetuskan letusan gunung berapi, kecuali terdapat perubahan ketara pada data pemantauan termasuk aktiviti seismik dalaman, deformasi gunung, suhu dan pelepasan gas.

Susulan kejadian itu, penduduk yang tinggal berhampiran kawasan gunung berapi diminta mematuhi zon larangan ditetapkan pihak berkuasa dan sentiasa mendapatkan perkembangan terkini menerusi saluran rasmi.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai maklumat tidak sahih yang tular di media sosial serta terus berwaspada terhadap sebarang perubahan aktiviti gunung berapi di kawasan masing-masing.