Bukit Aman: Pegawai Penyiasat Langgar SOP Kes Zara, Tapi Ibu Zara Sendiri...

Bukit Aman: Pegawai Penyiasat Langgar SOP Kes Zara, Tapi Ibu Zara Sendiri Tidak Mahu Bedah Siasat

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai penyiasat dan penyelianya selepas pasukan Task Force Bukit Aman mendapati terdapat ketidakpatuhan kepada prosedur siasatan dalam kes kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar, berkata siasatan yang bermula pada 11 Ogos lalu mendapati pegawai penyiasat tidak membuat permohonan untuk proses bedah siasat.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai penyiasat dan penyelianya kerana tiada pengawasan,” katanya memetik Harian Metro dalam sidang media khas di Bukit Aman hari ini.

Bagaimanapun, Kumar menjelaskan keputusan tidak melakukan bedah siasat pada awalnya dibuat atas permintaan keluarga.

“Persetujuan ini direkodkan dengan tandatangan ibu mangsa, doktor, pakar patologi dan pegawai penyiasat dalam dokumen ‘Surat Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri’ yang dikeluarkan pihak hospital,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan prosiding inkues akan dijalankan di Mahkamah Koroner secara bebas dan telus untuk menentukan punca kematian, selaras Subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Zara Qairina, 13, dari SMKA Tun Datu Mustapha Limauan, Papar, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama pada 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Pada 8 Ogos, kuburnya digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.