RANAU: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan, yang terletak kira-kira 45 kilometer dari pekan Ranau, bakal dimajukan sebagai sebuah bandar baharu berimpak tinggi melalui projek pembangunan komersial dan perumahan awam seluas 200 ekar.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah berkata, cadangan pembangunan itu dijangka mengubah wajah Paginatan menjadi pusat komersial moden yang dibangunkan berhampiran Tugu Peringatan Nunuk Ragang.
Majlis pecah tanah projek tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, kelmarin, disaksikan kira-kira 1,500 hadirin.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Dr Joachim Gunsalam; Menteri Kewangan, Datuk Masidi Manjun; ADUN Paginatan, Datuk Abidin Mandingkir; dan Pengurus Besar LPPB, Datuk Rosemary Ahping.
Menurut Masiung, fasa pertama projek melibatkan kerja-kerja persediaan tapak dengan kos dianggarkan RM500 ribu, manakala keseluruhan projek akan dilaksanakan dalam lima fasa.
“Antara komponen pembangunan termasuk Kompleks Sukan, Pejabat Daerah Kecil Paginatan, Perpustakaan, Masjid, Balai Bomba, Stesen Minyak, Sekolah dan Pusat Rekreasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, pembinaan infrastruktur asas seperti jalan masuk ke tapak projek, penimbusan, perparitan dan pembinaan kiosk Bumiputera akan diberi keutamaan.
“Projek ini dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri Sabah di bawah program Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), dengan kerja-kerja awal dijadualkan bermula sebelum hujung tahun ini,” katanya.






