26 Kertas Siasatan Dibuka Daripada Lebih 6,000 Premis Diperiksa Dalam Ops Pantau

26 Kertas Siasatan Dibuka Daripada Lebih 6,000 Premis Diperiksa Dalam Ops Pantau

0
SHARE
Armizan ketika meninjau Program Jualan Rahmah di tapak tamu mingguan daerah Papar

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membuka sebanyak 26 kertas siasatan terhadap pemilik premis perniagaan yang gagal mematuhi undang-undang dalam Ops Pantau yang bermula 1 Ramadan (12 Mac).

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jumlah tersebut merupakan hasil daripada pemeriksaan lebih 6,000 premis di seluruh negara dan 226 aduan yang diterima daripada orang awam. 

“Bermula 1 Ramadan yang lepas kita telah melakukan pemeriksaan terhadap 6,566 premis dan daripada jumlah tersebut kita telah mengeluarkan 26 notis kepada para peniaga.

“Kita juga menerima aduan daripada paltform-platform yang sedia ada di KPDN sebanyak 226,” katanya ketika ditemui media selepas Sesi Tinjauan Mesra Program Jualan Rahmah dan Bazar Ramadan Rahmah di Tapak Tamu Mingguan Papar, semalam.

Dalam pada itu, Armizan berkata Ops Kesan yang bermula pada 1 Mac bagi memantau kesan kenaikan SST sebanyak 8 peratus telah mengeluarkan sebanyak 409 notis terhadap peniaga yang melakukan pengubahsuaian terhadap harga barang jualan.

“Kita telah membuat pemeriksaan terhadap 7,527 premis dan kita telah mengeluarkan 409 notis kepada peniaga-peniaga yang didapati melakukan pengubasuaian dengan menaikkan harga barang dan kita telah meminta mereka untuk menjawab mengapa perubahan harga itu dibuat,” katanya.