Hajiji Cadang Wujudkan Galerua/Mini Muzium Penjawat Awam

Hajiji Cadang Wujudkan Galerua/Mini Muzium Penjawat Awam

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mencadangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam Sabah untuk mempertimbangkan pewujudan sebuah Galeria atau Mini Muzium Penjawat Awam dengan tumpuan kepada kerusi Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN).

Menurutnya, galeria itu boleh mempamerkan segala dokumen, teks-teks ucapan dan memorabilia berkaitan mantan-mantan SKN, termasuk rekod pencapaian dan kejayaan dari satu era ke satu era, sesuai dengan kepimpinan setiap SKN berkenaan.

Sudah pasti galeria ini boleh menjadi pusat rujukan untuk pembangunan sektor perkhidmatan awam, sekaligus sebagai pusat sumber bagi golongan pelajar dari peringkat menengah hinggalah ke peringkat pengajian tinggi,” katanya pada majlis Sanjungan Budi Tautan Legasi mantan SKN Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong di Magellan Sutera Resort semalam.

Ketua Menteri berkata jawatan SKN ini merupakan jawatan yang tertinggi dalam perkhidmatan awam negeri.

“Sejak kita merdeka 63 tahun lalu, Sabah baru mempunyai 11 orang SKN, iaitu Robert Turner, Datuk John Dusing, Tan Sri Richard Lind, Tan Sri Abdul Hamid Egoh, Tan Sri Simon Sipaun, Tan Sri Datu Haji Khalil bin Haji Jamalul, Datuk K.Y. Mustafa, Tan Sri Sukarti Wakiman, Datuk Seri Panglima Haji Hashim Paijan, Datuk Seri Panglima Haji Safar Untong dan terkini, Datuk Zainudin Haji Aman.

“Setiap daripada mantan-mantan SKN ini, mereka mempunyai kelebihan, kejayaan dan legasi mereka yang tersendiri. Maka pada malam ini kita meraikan legasi yang ditinggalkan oleh SKN ke-10 (Safar), setelah 6 tahun 7 bulan 24 hari beliau menggalas jawatan itu dengan warna warni perjuangan bersama pimpinan negeri dan warga penjawat awam,” katanya.

Hajiji turut memberi pujian kepada Safar yang menurut beliau bukan sahaja telah berjaya menambah tahap kecekapan dalam perkhidmatan awam negeri, malah berupaya melakukan perubahan yang positif, selaras dengan perkembangan dan kemajuan teknologi maklumat selama memegang jawatan SKN.

“Beliau mengusahakan inisiatif pendigitalan dalam pentadbiran kerajaan dengan memperkenalkan Smart Digital Government atau Kerajaan Pintar Digital di dalam sistem penyampaian kerajaan.

“Satu usaha yang bukan sahaja wajar diteruskan, bahkan dinaiktaraf dari masa ke semasa sesuai dengan kehendak dan keperluan,” katanya.

Hajiji berkata memandangkan Safar berpengalaman luas dalam pentadbiran dan pengurusan, di samping kebolehannya dalam soal pembangunan tanah, maka beliau telah diberi peranan baharu sebagai Pengerusi Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd (TAED).

“Saya percaya syarikat Kerajaan itu akan mendapat faedah yang besar daripada kepimpinan Datuk Seri Panglima Haji Safar,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji bagi pihak pimpinan Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Safar atas jasa bakti dan sumbangan kepada Perkhidmatan Awam Negeri ini sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.