KOTA KINABALU: Kontraktor Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A, Pakej Kerja 08 akan melaksanakan pemasangan lampu sementara di laluan Sepanggar ke Bulatan Berunggis bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya susulan isu pencahayaan dan keselamatan jalan yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut kenyataan Pan Borneo Sabah di Facebook semalam, tindakan segera itu diambil selepas aduan berkaitan keadaan pencahayaan jalan yang tidak mencukupi pada waktu malam, penandaan jalan yang kurang jelas serta kewujudan objek asing di kawasan kerja aktif projek dipercayai menjadi punca kemalangan pengguna jalan raya.
Hasil siasatan awal mendapati objek berkenaan dipercayai milik pihak ketiga dan bukan daripada jentera, peralatan atau bahan milik projek. Namun, keadaan kawasan kerja yang gelap dan tahap penglihatan rendah pada waktu malam dipercayai menyukarkan pengguna jalan raya mengesan objek tersebut lebih awal.
Susulan itu, pihak projek telah melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan termasuk pemeriksaan di lokasi terlibat, pengalihan objek asing daripada laluan, penambahan pencahayaan sementara dan peranti reflektif, pemasangan papan tanda trafik tambahan serta pemantauan berterusan di sepanjang jajaran kawasan kerja aktif projek.
Menurut kenyataan itu lagi, pemasangan lampu jalan kekal di kawasan berkenaan masih dalam proses berikutan penyambungan bekalan elektrik dan permohonan meter elektrik kepada pihak utiliti yang belum dimuktamadkan.
“Kerja pemasangan lampu sementara dijangka mengambil masa sekitar tiga hingga empat hari kerana pihak kontraktor perlu melaksanakan penarikan kabel elektrik sepanjang kira-kira 700 meter selain menjalankan penilaian kapasiti ‘voltage drop’ dan penyambungan bekalan kuasa sementara,” menurut kenyataan itu.
JKR Sabah menerusi Sektor Lebuhraya Pan Borneo turut menegaskan komitmen untuk terus mempertingkat aspek keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya di kawasan projek dari semasa ke semasa.






