APBN 2026 Platform Cungkil Aspirasi dan Iktiraf Kecemerlangan Belia Sabah

APBN 2026 Platform Cungkil Aspirasi dan Iktiraf Kecemerlangan Belia Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 dilihat sebagai platform penting dalam mencetus aspirasi serta mengiktiraf kecemerlangan golongan belia di negeri ini.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, APBN bukan sekadar medium pengiktirafan, malah berperanan menyuntik inspirasi kepada generasi muda agar terus cemerlang, berinovasi dan memainkan peranan aktif dalam pembangunan masyarakat serta kemajuan negeri.

“APBN bukan sekadar platform pengiktirafan, malah berperanan sebagai medium untuk mencetus aspirasi serta menyuntik inspirasi kepada generasi muda agar terus cemerlang, berinovasi dan memainkan peranan aktif dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat, ekonomi kreatif dan kemajuan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan APBN Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah di Wisma MUIS, di sini, pada Khamis.

Menurut beliau, mesyuarat itu diadakan bagi menyelaras pelaksanaan serta memastikan semua aspek persiapan dan kriteria penilaian APBN 2026 dapat dilaksanakan secara teratur, telus dan berkesan dalam usaha mengangkat martabat serta mengiktiraf sumbangan luar biasa golongan belia Sabah.

Nizam turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa serta agensi terlibat atas komitmen dan kerjasama berterusan dalam memastikan penganjuran APBN Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 dapat dilaksanakan dengan jayanya.

KBSK menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh agenda pembangunan belia menerusi pelbagai inisiatif dalam melahirkan generasi muda yang berdaya saing, progresif dan menjadi pemacu pembangunan Sabah pada masa hadapan.