PBT Berperanan Penting Sebagai Kerajaan Peringkat Ketiga – Dr. Joachim

PBT Berperanan Penting Sebagai Kerajaan Peringkat Ketiga – Dr. Joachim

0
SHARE

PUTATAN: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menegaskan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) memainkan peranan penting sebagai Kerajaan Peringkat Ketiga selepas Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Menurut beliau, PBT bukan sahaja mempunyai kuasa melulus dan menolak dasar, malah turut bertanggungjawab dalam pembangunan tapak komersial dan perumahan serta kelulusan lesen perniagaan.

“PBT merupakan entiti yang mempunyai kuasa melulus dan menolak dasar, membangunkan tapak komersial dan perumahan serta meluluskan lesen perniagaan,” katanya.

Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata demikian ketika merasmikan Majlis Angkat Sumpah dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Daerah Putatan bagi sesi 2025 hingga 2027 di Hotel Pacific Sutera Harbour, pada Selasa.

Beliau berkata, peranan PBT dalam memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan awam turut merangkumi aspek penting seperti pemantauan kebersihan dan pengurusan sampah.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua Ahli Majlis Daerah Putatan yang baru dilantik agar menjalankan tugas dengan penuh amanah dan sentiasa proaktif dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua Ahli Majlis yang baru dilantik. Jalankanlah tanggungjawab ini dengan amanah serta sering turun padang bagi memahami keperluan sebenar rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada mantan Ahli Majlis atas segala sumbangan dan kerjasama yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

“Terima kasih atas segala inisiatif, pandangan dan sokongan yang diberikan demi pembangunan daerah Putatan. Saya berharap kerjasama ini dapat diteruskan,” katanya.