KOTA KINABALU: Empat buah rumah jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran yang berlaku lewat malam semalam di Kampung Sarayo, Jalan Kayu Madang di sini.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima melalui MERS 999 pada jam 11.33 malam, semalam.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas tiba di lokasi pada jam 12.05 tengah malam, kira-kira 17 kilometer dari balai, dengan bantuan anggota dari BBP Kota Kinabalu dan BBP Tuaran.
Komander Operasi, Selvister Yamud berkata, kebakaran melibatkan empat rumah yang masing-masing berkeluasan 20 x 30 kaki persegi dan kesemua struktur terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua pancutan sepanjang 200 kaki dengan satu aliran air yang disalurkan dari tangki jentera. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12.34 tengah malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi yang melibatkan seramai 24 anggota bomba dengan kekuatan tiga jentera FRT, satu LFRT dan satu unit EMRS, ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.31 pagi setelah dipastikan tiada lagi risiko bahaya lain di lokasi kejadian.
Turut hadir membantu dalam operasi ialah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan empat anggota serta Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dengan tiga kakitangan.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.