KOTA BELUD: Seorang warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya sejak petang Selasa ditemui dalam keadaan lemah kira-kira 300 meter dari kediamannya di Kampung Payas-Payas, di sini, pada petang Rabu.
Mangsa lelaki berusia 78 tahun itu ditemui oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk diberikan bantuan awal dan dihantar ke Hospital Kota Belud bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PPgB Elge Bakuk, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.30 pagi Rabu berhubung kehilangan mangsa.
“Menurut anak mangsa, bapanya keluar dari rumah kira-kira jam 3 petang pada Selasa (28 Julai) dan tidak pulang sehingga laporan dibuat kepada pihak bomba.
“Pasukan bomba segera digerakkan ke lokasi untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat. Mangsa kemudian ditemui oleh orang awam kira-kira 300 meter dari rumahnya dalam keadaan lemah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kota Belud menggunakan jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi mencari dan menyelamat melibatkan 10 anggota BBP Kota Belud yang diketuai Komander Operasi, PBK II Masbi Peran, dengan bantuan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Operasi yang turut menggunakan sebuah Fire Rescue Tender (FRT), sebuah EMRS dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Vigo itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.38 petang selepas mangsa berjaya ditemui dan diserahkan kepada pihak hospital.






