IMAM SOLAT SUBUH MENINGGAL DALAM KEADAAN SUJUD

IMAM SOLAT SUBUH MENINGGAL DALAM KEADAAN SUJUD

0
SHARE
Imam
Tangkap layar rakaman CCTV yang menunjukkan saat-saat terakhir Syamsul ketika melangsungkan solat subuh di Masjid Al Ula ( Sumber Foto: Tangkap layar video tular )

BALIKPAPAN, INDONESIA – Seorang imam di Masjid Jami Al-Ula Kota Balikpapan, Kalimantan Timur, menghembuskan nafas terakhirnya dalam keadaan bersujud ketika memimpin solat subuh pada Selasa.

Dalam video yang tular itu, seorang ahli jemaah lekas mengambil tempat bersebelahan Allahyarham Andi Syamsul Bahri untuk menggantikannya sebagai imam agar solat tetap diselesaikan.

Laporan TribunKalteng mendedahkan bahawa lelaki bernama Burhansyah itu juga seorang imam bagi masjid tersebut.

Burhansyah berkata beliau sempat melihat Andi tersungkur di atas sejadah.

“Timbul perasaan tidak kena ketika bersujud kerana ianya mengambil masa yang lebih lama dari biasa sehingga saya terpaksa mengangkat kepala untuk menengok ke arah imam.

“Saya sempat mengintip dua kali. Pertama kali, posisi mendiang masih dalam posisi sujud sempurna. Namun untuk yang kedua, tubuhnya sudah rebah dengan posisi salah satu kakinya menjulur ke arah jemaah,” katanya.

Burhansyah lantas berdiri dan melanjutkan solat. Dalam rakaman CCTV, ahli jemaah yang menyedari apa yang berlaku juga menghabiskan solat dengan jasad Andi yang masih tersungkur.

“Mendiang baru sahaja menjadi seorang imam di masjid dalam tempoh kurang sebulan.

“Andi secara tiba-tiba berkata mahu memimpin solat. Kami mempersilakannya. Dalam sebulan terakhir hidupnya, mendiang rajin bertanya dan belajar tentang segalanya,” katanya.

Pada Januari 2023, Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Saidi Md Nor, 60, juga meninggal dunia dalam keadaan bersujud ketika melangsungkan solat Maghrib Jumaat di sebuah masjid di Jerteh, Terengganu.

Beliau dikatakan rebah ketika sedang sujud pada rakaat pertama.