TENOM: Varieti padi TR8 berpotensi menghasilkan sehingga 10 tan sehektar berdasarkan pencapaian penanaman di beberapa kawasan termasuk Kalibatang Lama, Kalibatang Baru, Kuala Tomani dan Merais.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, potensi itu turut dibuktikan menerusi hasil tuaian di kawasan Penuaian Sawah Satelit Benih Padi Sah (SSBPS) Kalibatang Baru yang dirasmikannya hari ini.
Beliau berkata, kawasan berkenaan digazetkan sebagai Satelit Benih Padi Sah di bawah Seksyen Pengeluaran Benih Padi Jabatan Pertanian Sabah bagi menghasilkan benih padi berkualiti yang disahkan Jabatan Pertanian.
“Di kampung ini ada seluas lebih kurang 67 hektar yang telah ditanam dengan padi TR8. Mengikut statistik kita, paling tinggi di sini sejak tiga tahun kebelakangan ini boleh mencapai 10 tan sehektar.
“Maksudnya, potensi padi TR8 ini memang tinggi dan potensi hasilnya telah dibuktikan di kawasan Kampung Kalibatang Lama, Kalibatang Baru, Kuala Tomani dan Merais,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penuaian SSBPS Kalibatang Baru di sini.
Jamawi yang juga ADUN Melalap berkata, pemeriksaan sampel yang dilakukannya turut mendapati setiap tangkai padi mempunyai antara 165 hingga 185 biji, menunjukkan potensi hasil sekitar lapan hingga sembilan tan sehektar.
Menurutnya, pencapaian itu antara yang tertinggi di Sabah berbanding Jelapang Padi Kota Belud yang mencatat hasil tertinggi sekitar lima tan sehektar, manakala Jelapang Padi Terusan Sapi mencapai 4.5 tan sehektar.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Jabatan Pertanian Sabah kerana melihat potensi kawasan berkenaan dalam meningkatkan pengeluaran padi.
“Saya bukan orang baru di sini. Saya bersama dengan petani di sini lebih kurang 20 tahun dan saya tahu kesungguhan mereka dalam memberikan tenaga serta kesepakatan untuk menguruskan ladang padi di kawasan ini,” katanya.
Jamawi berkata, selain padi, petani di kawasan berkenaan turut mengusahakan buah-buahan, termasuk tanaman yang menjadikan kawasan itu antara pengeluar buah-buahan yang terkenal di Sabah.
Katanya, Kerajaan Negeri akan terus membantu petani berikutan potensi kawasan berkenaan untuk dikembangkan sebagai contoh kepada petani industri padi di Sabah.
Beliau berkata, dua unit traktor, masing-masing untuk kerja membajak dan menuai, telah diluluskan untuk kawasan itu tahun ini.
“Untuk tahun hadapan saya akan tambah dengan mesin menanam dan juga mesin penuai yang kecil untuk kawasan-kawasan yang sukar dimasuki oleh jentera besar sebegini,” katanya.
Jamawi turut berkata, permintaan petani untuk bantuan mesin penyembur baja turut akan dipertimbangkan, dengan lima unit dirancang untuk disediakan tahun hadapan.
“Saya rasa kawasan ini akan terus berpotensi untuk dikembangkan dan menjadi contoh kepada petani-petani industri padi untuk negeri Sabah,” katanya.
Beliau meminta Jabatan Pertanian supaya menggalakkan kelompok petani yang ingin mempelajari kaedah pengurusan tanaman TR8 untuk datang ke kawasan Kuala Tomani bagi melihat sendiri teknologi dan hasil yang dicapai.
“Tak perlulah kamu ke Sekinchan, tak perlulah kamu ke Perak, tak perlulah kamu pergi Jelapang Padi di Kedah. Datang ke Kuala Tomani. Kami telah buktikan bahawa hasil padi sampai 10 tan sehektar,” katanya.
Jamawi turut mengadakan lawatan ke Ladang Sayur Bukit Layang- layang, Ulu Paal dan Taman Pertanian Sabah, Lagud Sebrang.






