JPSM Peneraju Pembangunan Modal Insan

JPSM Peneraju Pembangunan Modal Insan

0
SHARE
Jpsm
Sesi bergambar sembilan Pelatih Terbaik dan Pelatih Cemerlang bersama Tetamu Kehormat dan Sidang Akademik JPSM ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) melalui Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP) bertindak sebagai peneraju pembangunan modal insan di negeri ini menjelang 2035.

Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI), Datuk Harun Durabi berkata, inisiatif dan komitmen yang dizahirkan JPSM melalui ILTP sebagai salah satu pusat latihan dan pendidikan teknikal dan vokasional membuktikan JPSM sentiasa mendokong usaha kerajaan dalam pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Bidang TVET kini merupakan pilihan utama kerjaya yang mana dengan pantasnya peredaran teknologi dan perkembangan revolusi industri 4.0 yang kita hadapi, modal insan berkemahiran merupakan keperluan utama dalam pelbagai sektor pekerjaan.

“Oleh itu, selaras dengan Hala Tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 (2021 – 2025) iaitu teras modal insan dan kesejahteraan rakyat, kerajaan negeri sentiasa menyokong segala usaha yang dilaksanakan oleh JPSM dalam melahirkan modal insan yang terampil, kompeten, dan berdaya saing apabila menceburi bidang pekerjaan.

“ILTP mempunyai tanggungjawab yang amat besar dalam membangunkan modal insan berkualiti dan sentiasa meneruskan usahanya dalam melahirkan modal insan yang kompetitif dan mapan dalam pelbagai bidang,” katanya semasa perasmian Majlis Konvokesyen JPSM Siri 1 Tahun 2023 di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Pengarah JPSM, Norsiah Ag Duraman memaklumkan ILTP telah berjaya mendapat pentauliahan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dalam menaiktaraf beberapa program antaranya Pentadbiran Sistem Maklumat, Diploma Kemahiran Malaysia, Pengurusan Sistem Maklumat dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia.

“Selain itu, ILTP telah berjaya menaik taraf dan melengkapkan Alat Bantuan Latihan (ABL) Program Jurukimpal Arka Logam Berperisai kepada ABL yang berteknologi tinggi seperti perolehan mesin Robotic Welding, Microtest Welding, Lincoln Welding, Submergh Arc Welding dan Simulation Welding.

“JPSM sangat bangga memiliki ABL ini disebabkan ABL yang disenaraikan ini adalah yang pertama dan belum ada di institusi lain di Sabah,” katanya lagi.

Pada majlis berkenaan, seramai 142 graduan menerima sijil masing-masing melibatkan lapan program iaitu 68 orang graduan Program Bahagian Teknikal, ILTP Kampus Papar dan 74 orang graduan Program Bahagian Perdagangan ILTP Kampus Papar dan Kota Kinabalu.

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Kanan KSTI, Musleha Khairunisa Muluk, Penolong Kanan Pengarah, Jabatan Pembangunan Kemahiran, Othman Somsak Abdullah dan Pegawai Libat Urus, Petronas Sabah dan Labuan, Jennifer Sutian. — JABATAN PENERANGAN SABAH