KOTA BELUD: Seorang wanita berusia 42 tahun maut manakala dua remaja cedera selepas Perodua Alza dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori 10 tan membawa muatan pasir di Jalan Kota Belud-Tuaran, kawasan Taman Nikmat, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Khairul Shah Peri berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 11.05 pagi membabitkan kereta berkenaan yang dalam perjalanan dari arah Tuaran menuju Kota Belud dan lori yang datang dari arah bertentangan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu lori, seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun, dalam perjalanan dari Kota Belud menuju Tuaran.
“Setibanya di lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai telah masuk ke laluan lori sebelum melanggar bahagian tepi sebelah kanan kenderaan berat berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, kereta berkenaan berpusing dan menghadap semula ke arah Tuaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Khairul berkata, pemandu wanita berusia 42 tahun itu tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penumpang yang berada di dalam kereta berkenaan dibawa ke Hospital Kota Belud untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Kanan Penguasa Bomba Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.05 pagi sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Toyota Hilux dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan di lokasi pada jam 11.09 pagi, kemalangan didapati membabitkan sebuah lori 10 tan membawa muatan pasir dan sebuah Perodua Alza dengan empat mangsa berada di dalam kereta.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas penyelamatan,” katanya.
Menurut Elge, wanita berusia 42 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, dua lagi mangsa masing-masing seorang lelaki berusia 18 tahun yang mengalami kecederaan parah dan remaja perempuan berusia 15 tahun yang cedera ringan dihantar ke Hospital Kota Belud menggunakan ambulans KKM dan kenderaan Toyota LOV.
“Seorang lagi mangsa lelaki berusia 17 tahun tidak mengalami kecederaan dan dibawa pulang oleh ahli keluarganya,” katanya.
Operasi yang turut disertai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM ditamatkan pada jam 12.18 tengah hari selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat.
Khairul berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu, mematuhi undang-undang jalan raya serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik.






