KUPIKUPI FM Cipta Sejarah, Radio Komuniti Pertama Dari Borneo Luas Siaran ke...

KUPIKUPI FM Cipta Sejarah, Radio Komuniti Pertama Dari Borneo Luas Siaran ke Semenanjung Malaysia

0
SHARE

KOTA KINABALU: KUPIKUPI FM melakar sejarah sebagai stesen radio komuniti milik swasta pertama dari Borneo yang memperluas siaran radio FM ke Semenanjung Malaysia menerusi frekuensi 106.0 FM.

Perkembangan itu membolehkan siaran KUPIKUPI FM didengari di beberapa kawasan di Negeri Sembilan termasuk Seremban, Selangor merangkumi Sepang, Klang, Shah Alam, Petaling Jaya dan Kajang, selain Putrajaya.

Ketua Pegawai Eksekutif OOGA X Sdn Bhd, Lester Calvin Miol berkata, peluasan berkenaan bertujuan menghubungkan masyarakat Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung dengan kampung halaman, selain memperkenalkan muzik, budaya dan warisan Borneo kepada masyarakat Malaysia Barat.

“Ini merupakan detik bersejarah buat kami. Kami mahu rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung Malaysia mempunyai sebuah saluran radio yang boleh mereka dengari setiap kali merindui kampung halaman.

“Pada masa yang sama, kami mahu memberi peluang kepada saudara-saudari kita di Malaysia Barat untuk mengenali Borneo dengan lebih dekat,” katanya dalam kenyataan media.

Lester berkata, KUPIKUPI FM tidak berhasrat mendominasi industri penyiaran, sebaliknya mahu berkongsi keunikan budaya, muzik dan kisah masyarakat Borneo dengan khalayak lebih luas.

Ditubuhkan pada Januari 2016, KUPIKUPI FM Sabah mula bersiaran menerusi frekuensi 96.3 FM sebelum mengembangkan operasinya ke Sarawak pada 9 Jun 2023 menerusi frekuensi 92.5 FM di Kuching.

Selain penyiaran, stesen radio itu turut melaksanakan lebih 30 inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Sabah, khususnya membantu komuniti luar bandar mendapatkan akses bekalan air.

KUPIKUPI FM juga aktif dalam industri hiburan dengan menganjurkan lima konsert utama dan sebuah festival yang mengetengahkan artis tempatan serta antarabangsa, termasuk Repvblik, D’Masiv dan Kotak dari Indonesia.

Menurut Lester, OOGA X turut mengembangkan perniagaan medianya menerusi portal berita digital INFO X, selain menawarkan perkhidmatan pengurusan acara, promosi lapangan dan pemasaran.

“Kami mahu bakal pelanggan melihat kami sebagai penghubung dan jambatan kepada pasaran Borneo. Peranan kami melangkaui siaran radio.

“Kami juga mempunyai kepakaran dalam pengurusan acara, promosi lapangan, aktivasi pemasaran dan penglibatan komuniti,” katanya.

Beliau berharap peluasan siaran ke Semenanjung Malaysia dapat memperkukuh hubungan antara Malaysia Timur dan Malaysia Barat, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada bakat kreatif serta penggiat seni Borneo untuk dikenali di seluruh negara.