Big Sabah Car Show 2026 Dijangka Tarik 20,000 Pengunjung

Big Sabah Car Show 2026 Dijangka Tarik 20,000 Pengunjung

0
SHARE

KOTA KINABALU: The Big Sabah Car Show 2026 yang dijadual berlangsung pada 31 Oktober hingga 1 November ini di Sabah International Convention Centre (SICC) dijangka menarik kira-kira 20,000 pengunjung.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin turut menyambut baik penganjuran acara oleh CULT Event Management (CULT Malaysia) itu yang berpotensi memperkukuh sektor pelancongan berasaskan acara menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.

Sokongan itu dinyatakan ketika menerima kunjungan hormat delegasi CULT Malaysia bersama wakil Breeze Magazine yang turut dihadiri Pembantu Menteri, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal.

Jafry menyokong usaha memasukkan acara berkenaan dalam Kalendar Acara Pelancongan Sabah bagi menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negeri.

Program selama dua hari itu akan menampilkan Borneo 4×4 Outdoor Show 2026 pada 31 Oktober, diikuti CULT Car Culture Festival 2026 pada 1 November.

Penganjuran berkenaan dijangka memberi limpahan ekonomi kepada sektor perhotelan, pengangkutan, makanan dan minuman serta perniagaan tempatan.

Pengarah Program CULT, Azlin Awang Chee menyifatkan sokongan kementerian sebagai perkembangan penting dalam usaha menjadikan acara itu program tahunan yang mampu menarik pengunjung dari Semenanjung Malaysia, Sarawak, Brunei dan negara jiran.

Pihak penganjur turut mencadangkan Kempen Pelekat Kenderaan Visit Sabah 2027 sebagai inisiatif promosi pelancongan, selain mendapat komitmen Breeze Magazine untuk membantu memperluas publisiti acara dan destinasi pelancongan Sabah.