Jahid Jahim Nafi Tuduhan Terima Rasuah RM150,000, Sedia Ambil Tindakan Undang-Undang

Jahid Jahim Nafi Tuduhan Terima Rasuah RM150,000, Sedia Ambil Tindakan Undang-Undang

0
SHARE

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Jahid Jahim, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tidak berasas yang diterbitkan oleh Malaysiakini pada 28 Jun yang menuduh beliau menerima rasuah berjumlah RM150,000 berkaitan skandal perlombongan.

Menurut Jahid, beliau langsung tidak terlibat dalam sebarang skandal perlombongan seperti yang didakwa, dan tidak pernah menerima sebarang dana yang berkaitan dengan kelulusan atau pengeluaran lesen perlombongan di Sabah.

Dalam sebuah kenyataan hari ini, beliau menegaskan bahawa kementeriannya tidak mempunyai bidang kuasa dalam memproses permohonan lesen perlombongan.

“Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, tiada sebarang lesen cari gali atau lesen berkaitan perlombongan telah diluluskan atau dikeluarkan di kawasan saya.

“Terdapat amalan segelintir pihak yang menyalahgunakan media untuk mencipta naratif palsu berunsurkan rasuah tanpa sebarang siasatan rasmi dijalankan.

“Tindakan Malaysiakini melanggar undang-undang kerana cuba menghasut orang awam untuk menjatuhkan hukuman sebelum proses undang-undang yang sewajarnya,” katanya.

Beliau turut menyokong kenyataan Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang menafikan tuduhan serupa, serta memberi amaran bahawa media sedang digunakan sebagai alat untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri menjelang pilihan raya negeri yang bakal tiba, dengan mengulangi taktik “regime change” yang menurutnya telah lama digunakan di Sabah sejak era 1960-an.

Jahid kini mendapatkan nasihat undang-undang dan tidak menolak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysiakini serta dua penulis artikel berkenaan, RK Anand dan Alyaa Alhajri.