KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan ia kekal stabil dan tidak terjejas susulan keputusan United Sabah National Organisation (USNO) keluar daripada gabungan berkenaan.
Setiausaha Agung GRS merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata perkembangan politik adalah sesuatu yang dinamik dan tidak dapat dijangka.
“Kita harap mereka kekal, tetapi kita hormati keputusan mereka. Yang penting, kita berpisah sebagai kawan, bukan musuh,” katanya.
Beliau turut menegaskan perubahan dalam politik adalah perkara biasa.
“Orang akan datang dan pergi… sudah ada permohonan baharu daripada parti-parti lain untuk menyertai gabungan,” katanya.
USNO yang dipimpin Presidennya, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebelum ini mengumumkan keluar daripada GRS atas alasan perbezaan haluan.
Sementara itu, Menteri Pembantu Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai berkata fokus gabungan itu kekal tidak berubah.
“Kita hormati keputusan mereka dan ini perkara biasa dalam politik,” katanya.
“Kita akan teruskan agenda menyatukan rakyat Sabah tanpa mengira kaum dan agama… itu keutamaan kita untuk kestabilan dan kesejahteraan,” tambahnya.
Beliau menegaskan GRS tidak akan terjejas dengan perkembangan tersebut.
“Kita tidak akan hilang fokus. Arah kita kekal sama,” katanya.






