121 Peserta Teroka Khazanah Pelancongan Sandakan di VM2026 Hunt & Explore Media...

121 Peserta Teroka Khazanah Pelancongan Sandakan di VM2026 Hunt & Explore Media Race

0
SHARE

SANDAKAN: Seramai 121 peserta daripada 31 pasukan membabitkan pengamal media, pempengaruh dan orang awam menyertai Visit Malaysia 2026 Hunt & Explore Media Race 2026 bagi meneroka serta mempromosikan keunikan khazanah ekopelancongan, kebudayaan dan warisan Sandakan.

Program anjuran Tourism Malaysia menerusi pejabatnya di Sabah itu bertujuan memperkukuh kedudukan Sandakan sebagai destinasi pelancongan utama di pantai timur Sabah, selain memperluas promosi tarikan tempatan melalui platform media dan digital.

Tourism Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, peserta berpeluang merasai sendiri pengalaman meneroka pelbagai destinasi pelancongan menerusi cabaran interaktif termasuk pencarian lokasi bergambar, pencarian objek tersembunyi dan tugasan perlumbaan.

Antara lokasi yang menjadi tumpuan ialah Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo (BSBCC), Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, Pusat Penemuan Hutan Hujan (RDC), Rumah Agnes Keith, Tangga Seratus dan Pasar Sandakan.

Turut menjadi lokasi cabaran ialah Masjid Jamek Sandakan, Gereja St. Michael & All Angels, Kuil Puh Jih Shih dan San Da Gen Café.

Majlis pelepasan peserta pada jam 7.30 pagi disempurnakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, dengan kehadiran Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Khairul Amir Anuar.

Menurut kenyataan itu, penglibatan aktif pengamal media dan pencipta kandungan digital membantu memperluas promosi pelancongan Sandakan menerusi penerbitan laporan, fotografi serta kandungan video di pelbagai platform.

Maklum balas peserta juga amat positif, khususnya terhadap peluang meneroka sendiri keunikan tarikan pelancongan Sabah yang mempunyai potensi besar untuk diketengahkan kepada pasaran antarabangsa.

Selain kekayaan biodiversiti dan warisan sejarah, program itu turut mempromosikan hidupan liar ikonik Sabah, khususnya beruang matahari Borneo yang menjadi inspirasi kepada maskot Tahun Melawat Malaysia 2026, iaitu Wira dan Manja.

Penganjuran program berkenaan juga merupakan sebahagian daripada usaha menyokong sasaran negara mencapai 47 juta ketibaan pelawat antarabangsa menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026–2027.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, Malaysia merekodkan 28.8 juta ketibaan pelawat antarabangsa, meningkat 1.8 peratus berbanding 28.2 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Program yang berakhir pada jam 5 petang itu disusuli Majlis Makan Malam Gala dan Penyampaian Hadiah bertemakan “Hunter” di Dewan Tropicana, Hotel Elopura.