Majoriti Perwakilan UMNO Hadir PAU 2022 Sokong Usul Jawatan Presiden, Timbalan Presiden...

Majoriti Perwakilan UMNO Hadir PAU 2022 Sokong Usul Jawatan Presiden, Timbalan Presiden Tidak Dipertandingkan

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Majoriti perwakilan UMNO yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, menyokong usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti tahun ini.

Memetik sumber Bernama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata undian terbabit dijalankan pada jam 4.52 petang tadi di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Katanya, pihaknya mendapati majoriti perwakilan bangun serta mengangkat tangan sebagai tanda menyokong usul terbabit.

“Majoriti perwakilan UMNO bangun serta angkat tangan menyokong Usul Ucapan Dasar Presiden dengan satu tambahan, iaitu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan…

“Yang tidak sokong pun diminta berdiri dan angkat tangan, tapi bilangan sangat sedikit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu pautan yang dimuat naik dalam Twitter, hari ini.

Sementara itu Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil menerusi hantaran dalam Facebook, mengesahkan usul agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dikekalkan serta tidak dicabar pada pemilihan tahun ini, diterima dan disokong hampir kesemua perwakilan, selain semua usul yang dibawa oleh perwakilan.

Selain itu, adanya usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO akan datang.

Ia dicadangkan oleh perwakilan dari Negeri Sembilan, Mohd Shukri Samsudin, semalam.

Pemilihan UMNO perlu dilaksanakan sebelum 19 Mei tahun ini, iaitu dalam tempoh enam bulan selepas tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).